Pengertian nisfu Syaaban
Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
Nabi s.a.w. telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat, dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yang dengki.”
Ibadat Pada Malam Nisfu Syaaban
Seperti biasa kebanyakan umat Islam berpusu-pusu beribadat pada 15 Syaaban. Bermacam-macam ibadat dilakukan seperti mengerjakan solat sunat nisfu Syaaban, solat sunat raghaib dan bermacam solat sunat lain yang tidak ada asas dalam Islam.
Manakala selepas maghrib pula mereka membaca surah Yaasin beramai-ramai di masjid atau surau. Malah mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi al-Quran dan Sunnah. Doa tersebut juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Respon Ahli Agama
Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:
"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"
Menurut Dr. Asri Zainul Abidin, kita janganlah terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.
Ada juga di kalangan umat Islam yang berpuasa sunat nisfu Syaaban. Tidak salah kita mengerjakan puasa pada 15 Syaaban. Tetapi jangan pula kita mengkhususkan puasa tersebut sebagai puasa sunat nisfu Syaaban. Perkara ini masih dalam perbincangan para ulama. Kita sememangnya disunatkan berpuasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan Islam. Rasulullah (S.A.W) juga banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Bahkan, bulan kedua terbanyak baginda berpuasa selepas Ramadhan ialah pada bulan Syaaban.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Aisyah r.a menyatakan bahawa:
"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."
Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).
Saya memetik pendapat dari Ustaz Shauqi:
"...adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.
Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya.
Pada pandangan saya, kita perlu mengambil manfaat dengan kehadiran muslimin dan muslimat yang ramai ke masjid atau surau pada malam nisfu Syaaban ini. Mereka perlu dicerahkan minda mereka dengan membetulkan salah faham mereka selama ini tentang nisfu Syaaban.
Akhirnya, sekali lagi saya berseru kepada diri sendiri serta sahabat semua untuk kembali menghayati maksud hadis dibawah agar tidak terkecuali mendapat tempat di sisi Allah (S.W.T):
Rejab sudah berlalu...
Syaaban pula berjalan laju...
Begitu pantas masa berlalu...
Sedar tak sedar kita sudah meniti 15 Syaaban...
Syaaban pula berjalan laju...
Begitu pantas masa berlalu...
Sedar tak sedar kita sudah meniti 15 Syaaban...
MaMaZuE
No comments:
Post a Comment