My Family...My Life

My Family...My Life

Friday, April 1, 2011

Sifat Anak Derhaka Terhadap Ibu Bapa......


Assalamualaikum.....pagi ini terasa macam nak tulis pasal anak derhaka....Nauzubillah..mintak-mintak kita dijauhkan dari menjadi anak derhaka dan sentiasa memohon kepada Allah Subhanahu wataala, supaya anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan semoga mereka boleh mengawal diri mereka agar tidak terpesong dari keimaman yang telah kita lentur sejak dari kecil lagi....

Dalam Islam diwajibkan seorang anak itu taat kepada kedua ibu bapanya, mereka wajib menghormati ibu bapanya, tidak boleh bersikap kasar terhadap kedua orang tua mereka.
Tetapi ada juga anak-anak yang lupa daratan, mereka ini adalah tergolong dari anak-anak yang tidak tahu menghormati ibu bapa mereka. Sikap mereka yang kasar sering membuat hati ibu bapa mereka terluka dan terguris.
Anak-anak yang engkar terhadap ibu bapanya adalah anak-anak yang tidak mahu berbuat bakti terhadap ibu bapa mereka. Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Mereka tidak pernah ingat bahawa kalau tidak kerana ibu bapa mereka, mereka tidak akan lahir di dunia ini.
Oleh itu anda harus ingat kalau tidak kerana ibu bapa anda tidak akan mengecapi hidup yang senang lenang, seperti yang anda hadapi sekarang ini. Kalau tidak kerana penat jerihnya anda tidak akan menjadi manusia yang disegani dan mempunyai ilmu yang tinggi.
Tidak guna anda berilmu setinggi langit, jika anda tidak dapat membahagiakan ibu bapa anda sebagaimana dia membahagiakan anda semasa anda memerlukan perlindungan darinya.
Sebenarnya ibu bapa itu bukan mahu disanjung-sanjung setinggi langit atau didukung sebagaimana dia mendukung anda semasa kecil atau disuap nasi ke mulutnya, sebagaimana dia menyuapkan anda semasa kecil lagi. Tetapi sudah cukup anda menghormatinya dengan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap dirinya ketika mereka memerlukan.
Ibu bapa memang mudah berkecil hati jika anda mengeluarkan kata-kata yang kasar terhadapnya, oleh itu jagalah lidah anda jangan sampai terlanjur berkata kasar terhadapnya. Berlemah lembutlah terhadap mereka, walaupun anda tidak setuju dengan sikap mereka. Berunding dengan baik dalam suasana yang jernih akan dapat satu penelitian yang jujur terhadap apa yang dimusykillan.
Jangan anda tidak setuju terhadap ibu bapa anda terus berkeras dan membentak-bentak, ini durhaka namanya. Anak durhaka tidak akan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Oleh yang demikian, waspadalah terhadap tindak- tanduk dan tingkah laku anda untuk menjaga hati orang tua anda.
Lantaran jasa orang tua anda tidak akan dapat anda balas, walau sebanyak mana anda memberi perhatian terhadap mereka. Pengorbanan mereka terlalu besar terhadap anda. Mengapa anda tidak boleh memberi kelapangan kepadanya ? Jika rezaki anda melimpah ruah, anda jangan bakhil membiayainya sedapat mungkin yang boleh. Kerana kekayaan atau rezaki yang anda perolehi itu adalah hasil usahanya juga untuk memberi anda hidup dan berilmu.
Kawallah diri anda untuk menjadi insan yang berguna dan tidak durhaka kepada orang tua anda. Jika tidak kerana mereka anda tidak akan bernafas serta ketawa untuk hari ini. Jika anda membelakangi orang tua bererti anda membelakangi apa yang disuruh oleh Allah SWT.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w...
“Bahawasanya Allah mengharamkan ke atas kamu semua menderhakai ibu dan menanam hidup anak-anak perempuan, sebagaimana Tuhan mencegahmu untuk menahan pemberian yang perlu diberikan dan Allah tidak menyukai kata-kata yang sia-sia dan membanyakkan pertanyaan dan menyia-yiakan harta.” - Riwayat Bukhari.

 Sungguh sayu rasa hati ini apabila melihat semula iklan raya petronas ni.....menitis air mata , jika anak atau menantu memperlakukan kita sebegini apabila kita dah tua nanti....Aku pernah melalui saat-saat indah menjaga kedua-dua ibu bapa angkat yang telah membesarkan aku....Arwah bapa ku telah pun terlalu uzur ketika kami membawa dia pulang ke rumah kami  tetapi aku dan suami telah menjaganya dan ibu sehingga mereka menghembuskan nafas terakhir mereka di kediaman kami. Aku berasa amat bersyukur kerana telah mengurniakan aku seorang suami yang telah membenarkan aku membawa ibu bapa ku yang telah tua dan uzur untuk tinggal bersama kami. Aku juga bersyukur kerana semasa itu, kami telah pun mempunyai "umi" yang menjaga ibu bapa ku dengan  penuh kasih sayang dan menganggap mereka seperti ibubapanya sendiri... Dia telah menguruskan mereka semasa ketiadaan kami.... Sekarang ini sudah lebih kurang 7 tahun bapa ku pergi dan 2 tahun pemergian ibu....Walaupun mereka bukan ibubapa kandungku tetapi aku rasa puas kerana telah dapat memelihara mereka semasa mereka tua dan uzur... hanya dengan cara itu sahaja aku dapat membalas jasa-jasa mereka......lagipun mereka memang tidak mempunyai anak-anak lain selain dari diri ku...Mereka adalah bapa dan ibu saudaraku yang telah mengambilku sejak aku berumur beberapa hari......Arwah abah adalah abang sulung kepada ibu kandungku....dan arwah ibu kandungku adalah adik bongsunya....Semoga roh-roh mereka di cucuri rahmat dan diletakkan di samping orang-orang yang beriman.....Kita hanya mampu berusaha dan berdoa dan hanya Allah sahaja lah yang dapat menentukan masa depan kita sebagai orang tua kelak!!!!


MaMaZuE



KISAH AYAT SERIBU DINAR



Ayat Seribu Dinar sering dikaitkan dengan kemurahan rezeki dan perlindungan diri. Bagaimanakah ayat ini boleh dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar?


Pada zaman dahulu, ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi Nabi Khaidhir a.s. Dalam mimpi tersebut, Nabi Khaidhir a.s. memerintahkan pedagang tersebut untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama, pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi tersebut adalah mimpi yang benar. Atas keyakinan tersebut, pedagang itu pun bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah itu, pedagang tersebut bermimpi bertemu Nabi Khaidhir a.s. sekali lagi. Kali ini, Nabi Khaidhir mengajarkan pedagang itu ayat 2-3 surah at-Tolaq untuk diamalkan. Sejak itu, pedagang tersebut sentiasa mengamalkan ayat berkenaan.

Setelah beberapa lama, pedagang tersebut berlayar merentasi laut untuk pergi berdagang di tempat yang jauh. Dalam pelayaran tersebut, kapal pedagang tersebut dilanda taufan yang sangat dahsyat. Pedagang tersebut hanya mampu bertawakkal kepada Allah s.w.t. sambil membaca ayat yang diajarkan oleh Nabi Khaidhir a.s. dengan tidak berhenti-henti. Taufan itu sama sekali memusnahkan kapal tersebut menyebabkan kesemua penumpangnya mati kecuali pedagang tersebut. Apabila taufan itu telah reda, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah negeri, bersama barang dagangannya yang sama sekali tidak rosak. Pedagang itu mengucapkan syukur ke hadhrat Allah dan menginsafi fadhilat ayat yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri tersebut.

Pedagang tersebut meneruskan aktiviti perdagangannya dengan penduduk negeri tersebut sambil terus mengamalkan membaca ayat 2-3 Surah At-Talaq tersebut, sehinggalah beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). Begitulah kisahnya yang menyebabkan ayat yang diajar oleh Nabi Khaidhir a.s. itu digelar ayat 1000 dinar.

Sama-sama lah kita mengamalkan ayat 1000 dinar ini agar kita dimurahkan rezeki...diberikan rezeki yang halal ...serta mendapat fadhilat dari ayat ini...INSYAALLAH.....




MaMaZuE