Ayah dan ibu, itulah permulaan kita. Setiap daripada kita mempunyai ibu bapa, apalagi yang masih hidup ketika usia kita telah menginjak dewasa. Melalui mereka kita lahir ke dunia ini. Malah dengan jasa mereka kita dapat mengenal segala isinya dan mendapat kenikmatan melimpah ruah. Jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dalam kehidupan kita sebagai anak. Kudusnya kasih sayang yang mereka hamparkan bak lautan yang tidak bertepian. Itulah harta yang paling bernilai yang mereka berikan.
Bermula dengan persenyawaan sperma dan ovum daripada ayah dan ibu kita, maka dengan izin Allah s.w.t. kitalah yang menjadi perenang terbaik. Setelah beberapa bulan, ibu menitiskan air mata kegembiraan apabila mengetahui bahawa kita telah wujud di dalam rahimnya. Ayah pula tidak pernah putus mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Setelah berbulan-bulan, perut ibu sudah kelihatan. Ibu sukar untuk bergerak,namun dia tidak pernah mengeluh kerana dia amat sayang akan cahaya mata yang berada dalam rahimnya. Itulah permulaan kita dan pengorbanan ibu yang tidak ternilai.
Setelah sembilan bulan sepuluh hari, ibu mengalami kesakitan. Kesakitannya hanya Allah sahaja yang tahu. Ayah pula dengan rasa gementar yang menusuk hingga ke tulang sum-sum menghantar ke hospital lalu dimasukkan ke dalam wad bersalin. Ibu yang berusaha untuk mengeluarkan kita sanggup bertarung nyawa demi kita, anaknya. Bibirnya tidak pernah kering daripada menyebut kalimah ‘Allah’. Ayah pula sentiasa berdoa dalam hati memohon semoga anak dan isterinya selamat. Apabila terdengar tangisan si kecil, alangkah sejuknya hati ibu yang hampir kehilangan nafasnya. Ayah pula mengambil tempat untuk mengazankan si kecil tadi. Bermula pada detik itulah kita dapat bernafas di bumi Allah ini sehingga sekarang.
Hari demi hari, bulan demi bulan, serta tahun demi tahun pun berlalu. Tanpa disedari kita sudah boleh berjalan serta boleh menyebut perkataaan ‘papa’ dan ‘mama’. Kita ibarat kain putih yang suci lagi bersih, ibu bapalah orang yang bertanggungjawab membentuk kita. Ketabahan hati mereka mendidik dan melayani kenakalan kita sejak kecil sehinggalah dewasa sangat kental. Namun, alangkah malangnya jika anak yang dididik dengan penuh kasih sayang menjadi seperti kacang lupakan kulit. Di manakah silapnya didikan ibu bapa tersebut.
Di samping itu, mereka sanggup berjaga malam ketika kita sakit. Demi anak-anaknya mereka lebih rela tidak melelapkan mata. Mereka akan membelai kita sehinggalah kita tidur kembali. Selain itu, tatkala kita berada dalam kegelapan, mereka bagaikan pelita yang menyuluh jalan kehidupan ke jalan ynag benar. Ibu bapa tidak akan membiarkan anaknya terkapai-kapai seorang diri untuk mencari laluan pulang ke pangkal jalan. Ingatlah bahawa tiada ibu bapa yang sanggup membiarkan anaknya menjadi insan yang tidak berguna.
Setiap hari ibu bapa keluar bekerja untuk menampung kehidupan. Ayah yang bekerja sebagai tukang rumah sanggup berjemur di bawah terik mentari demi keluarganya. Segala keperluan sekolah mereka sediakan dan berikan kepada kita.
Begitu besar pengorbanan ayah dan ibu kita. Walaupun dengan segunung berlian tidak akan setanding dengan pengorbanan mereka. Oleh itu, jadilah anak yang soleh dan solehah serta sentiasa mendoakan mereka agar mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak. Janganlah kita membiarkan diri kita menjadi si Tenggang moden dan manusia yang tidak bertamadun. Jangan biarkan ibu menangis dan bersedih kerana syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Benarlah bahawa kasih ayah kasih sejati, kasih ibu membawa ke syurga.
kepada semua anak-anak....
Sebuah lagu dan video clip yang begitu menginsafkan..sayangi ibu dan ayah kita selgai kita masih boleh melihat mereka...
Al-Fatihah kepada
Arwah ibu Hajjah Mahmor bin Ahmad
Arwah bapa angkatku Haji Abu Bakar bin Ahmad
Arwah ibu angkatku Hajjah Kalsom binti Ahmad
dan Juga Al-Fatihah kepada bapa kandungku yang masih hidup
Haji Bidin bin Manaf
Amiiiinnn....Ya rabbal Alamin...
MaMaZuE